Pendekatan Keseluruhan Kerajaan merupakan pendekatan bersepadu yang memerlukan agensi bekerja merentasi sempadan portfolio serta merentasi peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan. Ianya adalah bagi memastikan isu-isu ditangani dengan mengutamakan rakyat sebagai pelanggan.
Penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan melibatkan perubahan kaedah tradisional kepada moden dengan menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai medium penting. Bagi melaksanakan tugas dan fungsi ini, kerajaan telah melantik Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sebagai agensi pelaksana bagi Pejabat Ketua Maklumat Kerajaan (GCIO). MAMPU akan turut serta terlibat dengan agensi pusat lain seperti Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam menggubal dasar dan polisi berkaitan penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan termasuk polisi berkaitan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang, perolehan ICT serta tadbir urus ICT Sektor Awam.
Ekonomi Digital telah dikenalpasti sebagai salah satu penyumbang kepada pembangunan negara untuk menjadi peneraju industri baharu tersebut di peringkat global selaras dengan trend utama dunia. Dalam tempoh ini, perbincangan sedang giat dilaksanakan bersama semua pihak yang berkepentingan dalam memastikan agenda berkaitan ekonomi digital diambil kira dan dirancang bersesuaian dengan perubahan teknologi serta pekembangan pembangunan di negara lain di peringkat global supaya Malaysia tidak ketinggalan dan boleh mengambil manfaat secara terancang dan efektif.
BKE berperanan dalam membentuk dasar dan strategi pembangunan ekonomi digital dan penyampaian perkhidmatan awam dengan menambah baik liputan dan kualiti infrastruktur digital, mewujudkan persekitaran yang dinamik bagi industri digital, memperkukuh pembangunan kandungan digital tempatan, melaksanakan inisiatif strategik bagi ekonomi digital, meningkatkan keselamatan siber untuk kesejahteraan masyarakat serta memantapkan penyampaian perkhidmatan secara komprehensif dan bersepadu. Peranan ini akan menyokong hasrat Kerajaan bagi membina ekosistem digital yang inklusif, melahirkan masyarakat yang produktif dan mencapai kemakmuran bersama.
Antara isu yang menyebabkan Kerajaan mengambil tindakan serius dalam mereformasi tadbir urus adalah antaranya tuduhan berkaitan rasuah, kurang ketelusan dan akauntabiliti, ketidakcekapan sumber serta kekangan kapasiti dan keupayaan dalam perkhidmatan awam. Usaha dan cabaran ini telah menjejaskan integrity dan keberkesanan institusi awam dan mengakibatkan defisit kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan rakyat.