Perancangan di Malaysia adalah proses interaktif antara UPE, JPM dan pihak berkepentingan, termasuklah kementerian dan agensi, kerajaan negeri, ahli akademik, pihak swasta dan badan bukan kerajaan. Di samping itu, input daripada pihak agensi antarabangsa turut diambil kira. Penetapan sasaran makro dan sektoral akan dibincangkan dan dipersetujui di dalam mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) yang mana UPE, JPM merupakan urusetia. Proses perancangan pembangunan sosioekonomi dilaksanakan melalui pendekatan “atas ke bawah” (top down) dan “bawah ke atas” (bottom up) bertujuan untuk memastikan dasar dan strategi negara direalisasikan melalui pengoptimuman sumber serta pembangunan seimbang dalam pelbagai aspek dapat dilaksanakan dan diintegrasikan sepenuhnya dengan teras pembangunan negara.
Parlimen merupakan peringkat tertinggi dalam perancangan pembangunan negara. Sebelum sesuatu rancangan dibentangkan di Parlimen, draf rancangan terlebih dahulu dibincang di peringkat Jawatankuasa Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Khas Perdana Menteri. Manakala Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara (JPPN) pula, merupakan badan tertinggi di peringkat pegawai Kerajaan dalam pembentukan dan penyelarasan dasar yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN). Draf rancangan dan dasar yang dicadangkan di peringkat JPPN akan dibentangkan kepada Majlis Pembangunan Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Dari segi mekanisme pelaksanaan dan pemantauan pula, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU,JPM) telah dipertanggungjawab untuk memantau pencapaian pelaksanaan dasar dan program serta projek Kerajaan pada peringkat kementerian dan agensi. Arahan No.1, 2018: Jentera Penyelarasan Pelaksanaan merupakan punca kuasa bagi memastikan mekanisme penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan program dan projek pembangunan Kerajaan pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah berjalan lancar. Laporan penilaian perlaksanaan pada setiap peringkat akan dibentangkan secara berkala bagi setiap suku tahunan kepada Jawatankuasa Kerja Tindakan Negara yang dipengerusikan oleh KSN sebelum dibawa kepada Majlis Tindakan Negara yang merupakan peringkat tertinggi dalam tadbir urus pemantauan pembangunan negara.
Proses dan jentera perancangan dan pemantauan dasar pembangunan sosioekonomi negara dapat diperjelaskan seperti dalam paparan di bawah:
- 12939 views